11:43 AM

Kelebihan Nisfu Syaaban....

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang dipetik dari kitab 'Zubdatul Waizzin' yang bermaksud: Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Subhanahu Wataala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit.

Sebahagian ahli hikmah berkata: "Sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk minta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan pada bulan Ramadan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa".

Cara umat Islam sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban adalah dengan membaca SurahYaasiin tiga kali selepas Sembahyang Fardu Maghrib dan setiap kali lepas membaca Surah Yaa Siin, mereka membaca doa. Pada bacaan Surah Yaa Siin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala dan pada bacaan kali ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal.

Pada bulan Syaaban yang mulia ini, secara kebetulan kita juga akan menyambut Hari Guru kali ke-15 dengan tema 'Guru Pengasas Kejayaanku'. Guru memainkan peranan penting dalam membimbing, memberikan tunjuk ajar dan membantu anak didiknya sejak awal pembelajaran mereka sehingga dapat memahami dan berdikari untuk mencapai kejayaan. Dengan sikap yang tidak mengenal jerih lelah atau patah semangat, guru sentiasa berusaha dan berjuang memberikan yang terbaik kepada pelajarnya. Keikhlasan guru dalam mengajar dan pelajar yang ikhlas dalam menuntut ilmunya, adalah penting agar keberkatan wujud dan mendapat ganjaran dan keutamaan di sisi Allah Subhanahu Wataala. Ini ada dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majjah, maksudnya:

"Daripada Sahal ibnu Mua'az ibnu An'nas, daripada bapanya Radiallahuanhum sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengajarkan satu ilmu maka baginya pahala orang yang mengamalkan ilmu tersebut tanpa mengurangkan pahala orang yang mengamalkannya sedikit pun".

Dalam kita merebut kelebihan bulan Syaaban ini dengan memperbanyakkan berdoa untuk diri kita dan kedua ibu bapa, kita juga seharusnya tidak lupa untuk mendoakan orang-orang yang telah berjasa kepada kita, malah menabur bakti kepada bangsa dan negara iaitu para guru atau pendidik. Perlu kita sedar, bahawa Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa mendoakan para guru dengan hati yang ikhlas supaya mereka dilimpahi dengan rahmat, kebahagiaan dan kesejahteraan lebih-lebih lagi di dalam bulan yang mulia ini.

Di dalam kesibukan kita dengan urusan duniawi seperti urusan kerja, pejabat, sekolah, keluarga dan sebagainya, janganlah hendaknya kita leka dan lalai sehingga tidak langsung merebut keistimewaan di bulan Syaaban ini. Oleh itu, rebutlah peluang dengan memperbanyakkan dan meningkatkan amalan khasnya pada malam Nisfu Syaaban tahun ini yang jatuh pada petang Ahad, 18 September 2005 Masihi bersamaan dengan 15 Syaaban 1426 Hijrah dan seterusnya menghadirkan diri bagi memakmurkan masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara. Begitu juga dipohonkan kepada para guru khasnya dan orang ramai amnya supaya dapat menghadirkan diri sekali lagi ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara pada petang 22 September 2005 Masihi bersamaan 19 Syaaban 1426 Hijrah, bagi sama-sama membaca Surah Yaa Siin, tahlil dan membaca doa sempena Hari Guru.

Mudah-mudahan kita dan para guru yang telah mendidik kita baik dari kalangan ibu bapa mahupun para guru mendapat rahmat, perlindungan dan pengampunan dari Allah Subhanahu Wataala serta beroleh keredaan jua. Amin, Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 tafsirnya:

"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan".

0 comments: